Sungguh, Mati itu Dekat

Sesungguhnya mati itu amat dekat.

Baru pagi ini aku ketahui jiran sebelah pejabat telah meninggal hari Ahad lepas. Disemadikan di Parit, Perak. Aku selalu berurusan dengannya kerana majikan tempatnya bekerja adalah klien firmaku. Apa yang boleh aku katakan adalah, beliau seorang yang berdedikasi dalam tugasnya. Urusan-urusanku dengan majikannya sering sahaja menjadi mudah. Kenapa ya orang-orang yang ada kualiti yang bagus, matinya begitu cepat ?

Usianya 12 tahun lebih muda daripadaku. Aku tidak tahupun yang dia sedang mengandung. Khabarnya sudah enam bulan lebih. Pada pukul 3 pagi hari Sabtu lepas, katanya dia ke bilik air untuk buang air. Keluar dari bilik air dalam keadaan merangkak. Kata mereka rahimnya pecah. Ya Allah, tentu sakitnya bukan kepalang. Satu rasa sakit yang aku tidak akan tahu bagaimana  peritnya. Dia mengalami pendarahan yang banyak. Bayinya terselamat, sekarang ini di dalam inkubator.

انالله واناالية راجعون

Rasa sebak sebentar. Akan kuhadiahkan A-Fatihah dan Yaa Siin setakat aku mampu.

Aku sendiri sudah lebih sepuluh hari terkena selesema. Masih belum baik betul. Entah kenapa, kali ini begitu lama untuk sembuh. Selalunya dua tiga hari aku sudah sembuh. Sampai hari ini kepalaku masih berdenyut-denyut di sekitar tulang hidung dan soket mataku. Sehingga aku merasakan, ubat-ubat yang kuambil bukannya menyembuhkan, malah memendam penyakitku itu daripada terzahir. Oleh itu selepas seketika kucuba bertahan tanpa ubat. Lalu hidungku pula sumbat akibat hingus yang begitu banyak terkumpul dalam rongga hidung. Malam-malam tidurku terganggu akibat salur nafasku tersekat.

Sampailah hari Selasa lepas, hingus yang kuhembus bercampur darah. Agak banyak. Barulah aku berjumpa doktor. Belum sempat aku beritahu, doktor sudah bertanya, berdarah tak ? Baru lega rasanya mendengar penjelasan doktor. Sekarang tidak berdarah lagi. Tapi hingus tetap ada, begitu pekat dan merengsakan hariku. Doktor beri satu ubat cecair yang aku perlu titiskan ke dalam hidung. Entah apa namanya tidak pula ditulis pada botolnya.

Semasa tubuhku menjadi begitu lemah, macam-macam fikiran timbul. Apakah aku terkena selesema burung, selesema babi ? Apakah aku akan mati ? Semua itu bermain-main dalam otakku.

Sebaiknya kalau kita ingat mati itu hampir, kita cuba perbaiki diri kita semampu mungkin. Kita perbetulkan apa yang silap. Kita perelok hubungan sesama manusia. Sebaik-baik ingatan terhadap mati adalah bahawa kita membuat persediaan seolah-olah kita akan mati sebentar lagi. Alangkah bagus kalau kita mati sehelai sepinggang, tanpa dosa yang kita heret bersama.

deja vu

Been away almost two years.. and missed this ground. I am back like a prodigal daughter .. hopefully for good. Just read my old writings and couldn’t help feeling I must have improved a lot in my now dead blog. I must write more ..